2 February 2015

Sejarah Ringkas SMK Sultan Tajul Ariffin


Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin atau nama ringkasnya SMK Sultan Tajul Ariffin, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan Besar Pekan Manong.

Pada 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin memiliki 295 pelajar lelaki dan 310 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 605 orang. Ia mempunyai seramai 62 orang guru.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin (SMKSTA), Manong, Perak, satu-satunya sekolah menengah diMukim Senggang, Kuala Kangsar, Perak, bermula dengan sistem pendidikan aneka jurusan pada Januari 1965. Pelajarnya ketika itu berjumlah 154 orang dengan gurunya sebanyak 7 orang termasuk pengetuanya yang pertama, iaitu Encik Zakaria bin Yassin. Kelasnya terdiri daripada 3 kelas Tingkatan 1 aliran bahasa Melayu dan 1 kelas peralihan aliran bahasa Inggeris yang ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan Manong. 

Pelajar sekolah ini terdiri daripada murid lepasan Darjah 6 dari SK dalam Mukim Senggang, iaitu Sekolah Kebangsaan Ulu Kenas, Sekolah Kebangsaan Kuala Kenas, Sekolah Kebangsaan Lempor, Sekolah Kebangsaan Jeliang, Sekolah Kebangsaan Ara Panjang, Sekolah Kebangsaan Ulu Piol, Sekolah Kebangsaan Manong dan Sekolah Kebangsaan Bekor.

Pembinaan bangunan SMKSTA (blok A dan blok B) bermula pada tahun 1966 dan siap pada tahun 1967. Semua pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dipindahkan ke bangunan baharu dengan nama Sekolah Menengah Rendah Manong, Kuala Kangsar, Perak. Kumpulan pertama Tingkatan 3 mula menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1967 dengan keputusan yang cemerlang apabila seorang pelajar telah berjaya memperoleh 6 agregat. 

Pelajar lelaki yang berjaya dalam SRP dan LCE menyambung pelajaran Tingkatan 4 keSekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar manakala pelajar perempuan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom (Government English Girl's School), Kuala Kangsar.

Tingkatan 4 aliran sastera di sekolah ini bermula pada tahun 1969 apabila bangunan blok C siap. Pada tahun 1970, nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin (SEMESTA). Tingkatan 4 aliran sains pula ditubuhkan pada tahun 1975. Pembangunan sekolah ini diteruskan dengan pembinaan bangunan blok D (1978), blok E, blok F, blok G dan Dewan Besar (2010).

Pengetua sekolah ini terdiri daripada: Encik Abdul Shukor bin Abdullah (1971, ke-2), Encik Azidin bin Mahmud (1973, ke-3), Encik Shaharuddin bin Ahmad Kamal (1976, ke-4), Encik Ahmad Bashah bin Hj. Hashim (1983, ke-5), Pn. Hjh. Zawiyah binti Ahmed (1991, ke-6), Tn. Hj. Kamaruddin bin Abd. Ghani (1993, ke-7), Encik Zainal Abidin bin Manas (1997, ke-8), Tn. Hj. Mohd. Isa bin Yop Hamzah (1998, ke-10), Encik Azam bin Mahmod (ke-11), Pn. Hjh. Norliah binti Mohd. Lazim (ke-12), Tn. Hj. Mohd. Kamil bin Ab. Rahman (2009, ke-13) dan Tn. Hj. Shamsuddin bin Md. Zainal Abidin (2011 hingga kini)

Sumber: Wikipedia

No comments:

Post a Comment